Monday 2 June 2014

Kerajaan perkenal sistem baharu diesel, petrol

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak mulai 1 September depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sistem yang sama bagi kenderaan persendirian juga akan dilaksanakan pada Oktober atau November depan.
    
Katanya maklumat terperinci mengenai pelaksanaan sistem baharu itu akan diummumkan dalam satu sidang media khas tidak lama lagi.
    
"Kerajaan sedang finalise satu sistem baharu untuk kira-kira 3,500 stesen minyak seluruh negara bagi memastikan penjualan diesel dan petrol bersubsidi hanya kepada kenderaan yang benar-benar layak sahaja.
    
"Kerajaan mensasarkan penjimatan sebanyak RM9.8 bilion melalui pelaksanaan sistem baharu yang dijamin lebih efektif dan berkesan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo Pengguna Malaysia 2014 di sini, hari ini.
    
Ekspo selama sembilan hari bermula semalam itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan menampilkan penyertaan lebih 200 syarikat yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.
    
Alias berkata, sistem baharu itu diyakini mampu memastikan bahan api bersubsidi itu dinikmati oleh hanya rakyat yang benar-benar layak dan ia juga mampu mengurangkan salah guna dan mengelak berlakunya ketirisan dan pembaziran.    

Pada masa ini harga RON95 adalah RM2.10 seliter (63 sen subsidi) dan harga RON97 adalah RM2.80.
    
Harga runcit RON97 ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan oleh kuasa pasaran.
    
Sementara itu, Alias berkata KPDNKK bercadang untuk turut mengehadkan penjualan diesel dan petrol di setiap stesen minyak di kawasan sempadan di seluruh negara kepada 600,000 liter sebulan dalam masa terdekat.
    
Beliau berkata, kuota itu diperkenal sebagai langkah awal membendung penyalahgunaan diesel dan petrol bersubsidi sehingga sistem baharu yang lebih efisien diperkenalkan.
    
Semalam Alias mengumumkan KPDNKK akan mengehadkan penjualan diesel dan petrol di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand kepada 600,000 liter sebulan berkuat kuasa hari ini bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi yang semakin aktif di sempadan negeri itu. - Bernama

Sunday 18 May 2014

Selepas 71 hari, khabar angin mengenai MH370 masih kuat berlegar

KUALA LUMPUR 17 Mei - Tujuh puluh satu hari telah berlalu tetapi khabar angin mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 masih ’berlegar’ dalam ruang media.
Yang terbaru ialah berpandukan Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT), yang didakwa tidak pernah dibincangkan sejak kehilangan pesawat dan oleh kerana ia tidak pernah memancar apa-apa isyarat, timbul spekulasi bahawa MH370 tidak terhempas di selatan Lautan Hindi dan masih dalam keadaan baik.


ELT ialah suar (api isyarat) kecemasan yang digunakan dalam pesawat untuk menyuruh pihak berkuasa penyelamat berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi petunjuk tentang lokasi dan jenis pesawat yang mengalami masalah.
Dalam temubual eksklusif dengan Bernama, bekas Ketua Juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, walapun pelik bahawa ELT MH370 tidak menghantar apa-apa isyarat, seseorang harus faham bahawa ELT akan memancarkan isyarat bergantung kepada hentaman.
``Sudut hentaman amat penting untuk membolehkan alat itu aktif secara automatik. Sebab mengapa mereka mempunyai petunjuk hentaman tertentu ialah supaya apabila pesawat membuat pendaratan dalam situasi sukar di landasan, ELT tidak akan berfungsi.
Beliau berkata dalam insiden pesawat Air France (AF), ELT tidak aktif dan pesawat itu terhempas pada kelajuan perlahan, kira-kira 100 kilometer sejam, dan tidak memberi tindak balas yang mencukupi untuk mengaktifkan ELT.
ELT direka khusus untuk aktif secara automatik akibat ledakan tertentu seperti hentaman atau tersentuh dengan air, serupa seperti alat pengesan kotak hitam.
``Walaupun pesawat (Air France 447) tersentuh air, tetapi ia kemudian tenggelam, isyarat tidak dipancarkan. Sentuhan air akan menjejaskan jarak, trajektori, daya kekuatan ELT. Oleh itu, jarak pemancaran ELT mungkin terbatas akibat air,'' kata beliau dan menambah bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) yang memancarkan isyarat.
Menurut Nik Ahmad Huzlan, sebelum AF447 terhempas ke dalam Lautan Atantik, pelbagai isyarat dipancarkan oleh ACARS kerana ia telah mengesan satu demi satu kerosakan yang memudahkan lokasi pesawat di dasar laut dikesan.
Nik Ahmad Nuzlan menjelaskan bahawa ELT tidak berkaitan dengan alat transponder pesawat sambil berkata ia berfungsi sendiri dan jangka hayat bateri boleh bertahan hanya 48 jam selepas aktif secara sendiri kerana isyaratnya yang kuat dan keupayaannya dikesan dari jarak jauh, tidak seperti isyarat ping.
ELT, apabila aktif secara sendiri, akan memancarkan isyarat kepada tiga frekuensi yang boleh dikesan oleh mana-mana pesawat atau kapal yang membuat pemantauan melalui satelit.
Yang pertama ialah frekuensi 243-MHz bagi kapal. Mana-mana kapal yang melalui kawasan itu boleh mengesannya melalui radio. Yang kedua ialah frekuensi 121.5-MHz, iaitu bagi pesawat, kata beliau.
`Dan satu lagi isyarat akan dipancarkan ke satelit melalui frekuensi 406-MHz. Jadi, ada tiga frekuensi dan tiada satu pun daripadanya yang dapat dikesan,'' katanya.
Mengenai empat isyarat ping yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada 5 dan 8 April lepas, beliau berkata sebab mengapa tiada lagi isyarat ping dikesan selepas itu ialah jangka hayat bateri kotak hitam hampir berakhir pada masa itu.
``Oleh itu, keempat-empat isyarat ping yang dikesan ialah dari kotak hitam. Tetapi mengapa amat sukar untuk menemui bangkai pesawat? Ini kerana isyaratnya tidak tidak cukup kuat untuk melingkungi kawasan segi tiga. Jika isyaratnya kuat dan boleh dikesan pada setiap penjuru kawasan pencarian di laut, garisan persilangan boleh dikenal pasti dan usaha mencari akan lebih mudah,'' katanya.

Ditanya kemungkinan MH370, yang berdasarkan analisis berakhir di selatan Lautan Hindi, masih tidak terjejas, Nik Ahmad Huzlan berkata ada kemungkinan kerana pesawat berat dan direka khusus untuk tidak terapung di atas permukaan air.
``Air boleh memasuki ruang peralatan pendaratan, enjin dan harus ingat, enjin pesawat amat berat. Oleh itu, air boleh masuk dan menenggelamkan pesawat. Paling lama pesawat boleh terapung di atas permukaan air ialah lima minit,'' tambah beliau.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perlunya mengkaji dan membuat penghuraian semula analisis oleh firma satelit United Kingdon, Inmarsat dan Badan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB), katanya ia harus dilakukan walaupun tiada isu mengenai analisis mengenai kesan doppler berdasarkan isyarat ping.
``Saya berpegang kepada beberapa perkara. Yang pertama, lingkaran jarak keupayaan pesawat berdasarkan bekalan minyak yang masih ada. Yang kedua, ialah mengenal pasti lokasi terbit subuh kerana sesiapa yang mengemudi MH370 pada masa itu akan mencari kawasan matahari terbit.
``Jadi di mana faktor subuh berkaitan dengan isyarat ping, berkaitan dengan lingkaran jarak, iaitu di situlah MH370 berada. Mengapa mendarat pada siang hari? Jadi, lautan boleh dilihat dan lebih mudah untuk mendarat di atas permukaan laut,'' katanya. - BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia

Kanak-kanak lemas dalam tong simpanan air

BANTING 18 Mei- Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia pada pukul 3 pagi semalam akibat lemas dalam sebuah tong simpanan air di rumahnya di Teluk Panglima Garang di sini.
Kanak-kanak berusia setahun sembilan bulan itu dijumpai oleh ibunya, Aminah Samion pada pukul empat petang semalam. -

Sumber: Harian Metro

Hidangan kreatif untuk anak

Washington: Seorang bapa memilih cara kreatif untuk membangkitkan selera makan dua anaknya - dengan mencipta penkek dalam pelbagai bentuk menarik termasuk watak filem Star Wars dan tokoh sejarah seperti George Washington.
Pelukis ilustrasi Nathan Shields, 34, setakat ini sudah mencipta ratusan rekaan penkek yang kini menjadi tradisi mingguan keluarganya, malah lebih 100 daripada penkek berkenaan sudah ‘dikongsikan’ dengan pengguna Internet.
Shields yang juga bekas guru matematik berkata, dia mula mencipta penkek uniknya untuk menghiburkan dua anaknya Gryphon, enam, dan Alice, tiga.
“Ketika itu saya mula menghabiskan lebih banyak masa dengan dua anak saya.
“Pada satu pagi saya tiba-tiba mendapat ilham menghasilkan penkek berbentuk kenderaan.

“Disebabkan anak-anak begitu menyukainya saya mula bereksperimen dengan rekaan lain pada minggu berikutnya menggunakan bentuk haiwan pula.
“Rakan yang melihat gambar rekaan berkenaan di Facebook menggalakkan saya supaya terus mencipta ‘seni’ penkek itu,” katanya.
Menurutnya, tema rekaan setiap minggu bergantung pada permintaan anaknya atau hasil ideanya sendiri yang dianggap dapat memberi pendidikan secara tidak langsung kepada mereka.
“Saya anggap satu cabaran untuk menghasilkan rekaan seperti dirancang.
“Namun, apa yang penting adalah penkek yang tidak cantik tetap enak dimakan,” katanya.
Malah, katanya Gryphon dan Alice juga sudah mula berjinak-jinak menghasilkan rekaan penkek mereka sendiri.

- Agensi

Sumber: Harian Metro

Jawapan wanita atas jejantas

Kuala Lumpur: Wanita yang ditemui di atas jejantas berhampiran Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana menunaikan solat dan membaca al-Quran memberi alasan berbuat demikian selepas mendapat alamat melalui mimpi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata kejadian selepas pihaknya menerima maklumat dari orang awam, pada 1.30 petang Sabtu. 
"Anggota polis yang melakukan penugasan am bergegas ke lokasi kejadian kerana bimbang wanita itu akan dilanggar kenderaan sebelum membawanya ke Balai Polis Tun HS Lee.

"Dia kemudiannya dihantar ke Unit Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, wanita itu dikenali sebagai Anita Shiar, 27, warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya malah maklumat juga diberikan secara lisan.

Difahamkan, gambar wanita itu menjadi viral di laman sosial lewat petang tadi sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai.

Sumber: Harian Metro

Cara baharu bersedekah di Arab Saudi


Meletakkan makanan berlebihan pada peti sejuk yang diletakkan di bahu jalan di bandar Hail Arab Saudi memberi nafas baharu dalam amalan bersedekah di negara itu. - AGENSI
JEDDAH 17 Mei - Seorang lelaki di Arab Saudi memperkenalkan cara baharu untuk orang ramai bersedekah apabila menempatkan sebuah peti sejuk khas untuk golongan yang kurang bernasib baik di sebuah jalan raya di bandar Hail.
Malah, gambar peti sejuk tersebut yang diletakkan di bahu jalan itu tersebar dengan pantas di laman-laman sosial seperti Twitter dan Facebook selain turut dilaporkan media antarabangsa termasuk stesen televisyen BBC.
Lelaki itu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, peti ais itu berfungsi apabila penduduk di sana meletakkan makanan berlebihan di dalam peti ais itu yang boleh diambil oleh golongan kurang bernasib baik.

Seorang pengguna Twitter, Sheikh Mohammad Al-Araifi menerusi akaunnya melahirkan penghormatannya terhadap lelaki dari Hail itu kerana secara tidak langsung melakukan kerja amal.

Lelaki ini telah mengajar kita pengajaran berguna supaya tidak membazirkan makanan. Ia merupakan cara mudah yang boleh dimulakan mana-mana pihak daripada membuang makanan itu ke dalam tong sampah," kata Abdulaziz Ahmed, sebagaimana lapor Arab News.
Sementara itu, beberapa penduduk Arab Saudi sejak berita itu disiarkan berikrar mengambil langkah sama dengan meletakkan peti sejuk mereka di lorong-lorong dan di hadapan masjid tempatan.
Pembuangan makanan berlebihan sering berlaku di sini terutamanya ketika Ramadan," kata seorang peniaga, Saleh Shamawi.
Penduduk Arab Saudi sebelum ini pada Ramadan akan menyumbangkan makanan ke masjid dalam usaha mengurangkan fenomena meminta sedekah.
Malah menurut media antarabangsa, idea itu telah mendapat populariti di kalangan penduduk di negara-negara asing.


Sumber: Utusan Malaysia

Wanita bertelekung bersimpuh di tepi jalan



SEORANG anggota polis trafik mengawal lalu lintas bagi mengelak wanita itu dilanggar oleh kenderaan yang melalui Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur semalam.




Tindakan seorang wanita yang lengkap bertelekung bersimpuh di atas sejadah yang dibentang di tepi Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur semalam menimbulkan kehairanan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Difahamkan, wanita warganegara Indonesia itu yang dikenali sebagai Anita Shiar, 27, enggan bergerak dari tempat itu walaupun diarahkan berbuat demikian oleh seorang anggota polis trafik.
Keadaan itu menyebabkan anggota trafik berkenaan terpaksa mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, wanita tersebut berjaya dipujuk dan seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 1.30 petang dengan menaiki kenderaan polis untuk pemeriksaan kesihatan.

Sumber: Utusan Malaysia